Thursday, February 12, 2015

KENAPA RASULULLAH TIDAK MEMPUNYAI BAYANG

Semua sedia maklum satu mukjizat Nabi Muhammad saw adalah baginda tidak mempunyai bayang kerana baginda itu sendiri adalah cahaya. 
Rahmatan Lilalalmin.

Baginda dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.. baginda itu Nur Muhammad... cahaya atas cahaya... Allahu Rabbi...

Ini adalah sabahagian rambut Rasululillah saw.... rambut ini apabila disuluh tiada bayang... jelas... ini adalah rambut junjungan besar baginda Rasululillah... rambut baginda masih hidup walaupun jasad baginda sudah tiada... buktinya apabila rambut ini dipotong.. ia akan kembali kepada panjang asal....

Sollu alan Nabi...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ 

Allahumma salli `ala muhammadin wa'ali muhammad, kama sallayta `ala ali ibrahim, innaka hamidun majid, Allahumma barik `ala muhammadin wa'ali muhammad, kama barakta `ala ali ibrahim, innaka hamidun majid -

ANTARA KEISTIMEWAAN RASULULLAH SAW

Memang Rasulullah SAW manusia hebat, tiada tara, tiada lawannya, jika dikatakan Nabi Yusof segak tapi Nabi Muhammad lebih segak ,jika Nabi Daud dikurniakan dengan merdunya suara, tetapi suara Nabi Muhammad lebih merdu.

Mari kita lihat banyak lagi istimewanya Rasulullah SAW yang kita tidak tahu 

Rasulullah SAW tiada bayang-bayang:
Al-Hakim al-Tirmizi meriwayatkan daripada Zakwan: “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu tidak mempunyai bayang-bayang sama ada ketika berada di bawah sinar matahari, mahupun bulan.”

Rasulullah SAW tidak dihinggapi lalat :

Al-Qadhi ‘Iyadh menyebut di dalam al-Syifa, dan al-’Azafi dalam Maulidnya: “Di antara keistimewaan Nabi Muhammad SAW, lalat tidak pernah menghinggapi baginda.”

Ia juga disebutkan oleh Ibnu Sabu’ dalam al-Khasa’is, dengan lafaz: “Sesungguhnya lalat tidak pernah hinggap pada pakaiannya.”

Beliau menambah: “Sesungguhnya di antara keistimewaan Rasulullah SAW, kutu tidak pernah menggigitnya.”

Istimewanya darah Rasulullah SAW:

Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Abu Ya’la, al Tabrani, al Hakim dan al Baihaqi daripada Abdullah ibn al Zubair: “Bahawa dia pernah datang menemui Rasulullah SAW ketika sedang dibekam. Setelah selesai dibekam, Rasulullah SAW pun bersabda, “Wahai Abdullah! Pergilah kamu dengan membawa darah ini dan buanglah ia di suatu tempat yang tiada sesiapa pun melihat kamu.”

Tetapi dia meminum darah itu. Apabila pulang, Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Abdullah! Apakah yang telah kamu lakukan (terhadap darahku itu)?”

Jawabnya: “Aku telah meletakkannya di tempat yang tersorok yang aku ketahui ia sememangnya tersembunyi daripada pengetahuan orang.”

Rasulullah SAW bersabda: “Kemungkinan kamu telah meminumnya”. Kataku, “Ya!” Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah manusia daripada kamu dan terselamatlah kamu daripada manusia.”

Peluh Rasulullah SAW wangi :
Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas berkata: Rasulullah SAW pernah datang kepada kami lalu tidur sebentar (qailulah) di tempat kami. Baginda SAW berpeluh (semasa tidur). Ibuku datang membawa sebuah botol kaca lalu menadah peluh Rasulullah SAW yang mengalir itu. Rasulullah SAW pun terjaga lalu bersabda, “Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau lakukan?” Dia menjawab: “Peluh ini akan kita jadikan minyak wangi kita, ia adalah wangian yang paling harum!”

Nabi Muhammad SAW terpelihara daripada menguap
Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam al-Tarikh, dan Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, serta Ibnu Sa’ad daripada Yazid ibn al-Asom, berkata: “Nabi Muhammad SAW tidak pernah menguap sama sekali.”

Keistimewaan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang tidak diberikan kepada Nabi-nabi yang sebelumnya adalah:

1. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam diutuskan kepada semua manusia dan jin. Sedangkan Nabi-nabi terdahulu hanya diutuskan kepada Kaumnya sahaja. (Hr Bukhari)

2. Dihalalkan harta rampasan perang (ghanimah) kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallamsedangkan tidak dihalalkan bagi manusia-manusia sebelum Nabi. (Hr Bukhari)

3. Semua tanah dan tempat di muka bumi ini boleh dijadikan tempat solat. (HBukhari)

4. Nabi-nabi dan ummat terdahulu tidak bersembahyang melainkan di tempat-tempat ibadah yang khusus. (Hr Ahmad)

5. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diberi bantuan ketika menghadapi musuh-musuh Islam dengan Allah SWT mencampakkan perasaan takut dalam hati-hati musuh sebelum sampai bertemu tentera-tentera Islam sejauh sebulan perjalanan. (Hr Bukhari)

6. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diberi Syafaat. (Hr Bukhari) Syafaatnya untuk ummatnya bagi orang yang tidak melakukan syirik. (Hr Ahmad)

7. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diberikan “Jawamiul Kalim”. (Hr Muslim) Iaitu kalimah yang ringkas tetapi mengandungi banyak makna.

8. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah penutup bagi kenabian. (Hr Muslim)

9. Diberikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah dari gedung di bawah arasy. (Hr an-Nisaei)

10. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diberikan kunci-kunci bumi. (Hr Ahmad)

11. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah orang yang pertama diberi nama Ahmad. (Hr Ahmad)

12. Ummat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah yang sebaik-baik umat. (Hr Ahmad)

13. Diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang akan datang semasa dia lahir ke dunia lagi. (Hr al-Bazzar)

14. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diberikan Telaga al-Kauthar di akhirat. (Hr al-Bazzar)

15. Mula-mula Qarin yang bersama Nabi Muhammad adalah kafir. kemudian Allah SWT membantu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan Islamnya Qarin tersebut.

16. Dijadikan saf Ummat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam seperti saf para malaikat. (Hr Muslim)

والله أعلم بالصواب
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Wallahua'lam...

P/S : Jika terdapat kesalahan, mohon ditegur :-)
Terima kasih kepada mereka yang menegur kesillapan saya.

CREDIT : http://kisahrasulullah.blogspot.com/

Friday, February 06, 2015

Sifat Orang Mukmin Sentiasa Bersyukur di Atas Nikmat dan Rezeki Daripada Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bersyukur adalah sifat mahmudah yang dimiliki oleh orang mukmin. Sungguh banyak nikmat dan rezeki yang kita perolehi daripada Allah S.W.T. samaada kita sedari atau pun tidak.

Sudahkan kita bersyukur hari ini? Berapa kali kita bersyukur hari ini? Apa yang kita syukuri? Kepada siapa kita bersyukur? dan banyak lagi pertanyaan-pertanyaan lain di dalam hati mengenai syukur.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memberikan pernyataan; 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Ku-tambah nikmat-Ku kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (Surah Ibrahim ayat 7).

Syukur, sesuatu yang mudah untuk di katakan, mudah untuk dijelaskan, tetapi tidak mudah untuk dilakukan. Barangkali sebagian dari kita akan mengatakan, saya selalu mengatakan ‘Alhamdulillah’ kalau mendapatkan suatu kenikmatan, memang benar itulah ucapan yang  mesti kita ucapkan tanda bersyukur dengan memuji  kebesaran Allah S.W.T.

Sedar atau tidak, hidup manusia di alam fana ini tidak akan terlepas daripada menerima nikmat dan rahmat Allah S.W.T.

Nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T. kepada manusia adalah tidak terhitung banyaknya. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang. Ini jelas dinyatakan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud : "Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang."
(Surah an-Nahl ayat 18)

Meneliti kejadian dan kurniaan anggota badan utama pada tubuh manusia seperti kaki, tangan, perut, mulut, telinga, hidung dan mata, sudah cukup bagi kita membuat kesimpulan betapa berkuasa, agung dan murahnya Allah serta betapa lemah dan tidak berdayanya manusia yang menghuni alam fana ini.

Anggota badan itu pula dijadikan Allah dengan rapi dan lengkap serta dapat bergerak dan berfungsi serentak pada waktu sama. Sambil melihat, kita dapat bercakap, mendengar, menghidu, berjalan dan sebagainya.

Imam Al Ghazali mendefinasikan nikmat itu sebagai: setiap kebaikan, kelazatan dan kebahagiaan serta setiap kebahagiaan hidup 'ukhrawi' - 'hari akhirat yang kekal abadi.'
Secara umumnya, nikmat kurniaan Allah kepada setiap orang manusia dapat dibahagikan kepada dua iaitu:

1) Nikmat bersifat 'fitri' atau asasi iaitu nikmat yang dibawa oleh manusia ketika dilahirkan lagi.

2) Nikmat mendatang iaitu nikmat yang diterima dan dirasakan dari masa ke semasa.

Nikmat bersifat fitri atau asasi itu digambarkan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud:
"Dan Tuhan melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa-apa pun. Dan (kemudian) diberinya kamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur - berterima kasih." - (Surah an-Nahl ayat 78)

Sesungguhnya manusia ini dilahirkan ke dunia dalam keadaan bertelanjang bulat. Tetapi dilengkapi dengan alat yang diperlukan dalam perjuangan hidup ini.
Dalam ayat di atas, yang dimaksudkan dengan kelengkapan itu ialah telinga, mata dan hati (akal).

Ada pun nikmat yang kedua iaitu nikmat yang dianggap mendatang itu ialah segala kenikmatan, kelazatan, kebahagiaan dan sebagainya yang diterima oleh manusia dalam perjalanan hidupnya.  

Keadaan dan kenyataan ini dijelaskan oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan suatu tanda (kebesaran Allah) bagi mereka adalah bumi yang mati (tandus). Kami hidupkan bumi itu dan Kami keluarkan darinya biji-bijiran, maka dari (biji-bijirin) itu mereka makan. Dan Kami jadikan padanya di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air, agar mereka dapat makan dari buahnya, dan dari usaha tangan mereka. Maka mengapa mereka tidak bersyukur?" (Surah Yasin ayat 33-35)



Sahabat yang dimuliakan,
Lumrahnya, seseorang manusia itu hanya akan menyedari nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya apabila nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya (dicabut oleh Tuhan kembali).

Andai kata matanya rosak sebelah, kakinya patah, kakinya kudung atau seumpama itu berlaku ke atas dirinya, maka ketika itu barulah berasa sungguh-sungguh bagaimana nikmatnya mempunyai dua biji mata, mempunyai kaki dan tangan tidak cacat.

Sesungguhnya nikmat kesihatan betul-betul dirasai apabila kita sakit.

Seorang yang berkuasa atau berpangkat akan berasa nikmat memegang kuasa dan pangkat selepas jatuh atau dipecat daripada kekuasaan serta jawatan yang disandangnya hilang.

Seorang hartawan apabila jatuh miskin dan melarat, maka akan rasa bersalah olehnya bagaimana besarnya nikmat kekayaan yang pernah dikecapinya itu.

Oleh itu peliharalah setiap nikmat diperolehi. Bersyukur dan berterima kasihlah kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu akan terus dikekalkan-Nya.

Syukur dapat diertikan bahawa semua nikmat yang ada pada diri seseorang hamba, baik yang lahir mahu pun yang batin, semuanya daripada Allah S.W.T. sebagai pemberian daripada-Nya.

Jika kita terima pemberian atau bantuan daripada sahabat kita, ketika kita berhajat kepada bantuan, maka bersyukurlah kepada Allah S.W.T. yang membuka pintu hati sahabat kita untuk menyampaikan bantuan tersebut dan berterima kasihlah kepadanya kerana betapa mulia dan baik hatinya yang sanggup berkorban. Iringilah doa kepada Allah S.W.T. supaya sahabat kita itu sentiasa dirahmati, diberkati, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Kerana salah satu doa yang dimakbulkan Allah S.W.T. adalah doa sahabat kepada sahabatnya yang berjauhan.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah S.W.T."
(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)


Sahabat yang dikasihi, 
Tanda seseorang itu bersyukur ialah apabila gembira wujudnya nikmat pada dirinya, yang melorongkan jalan untuk beramal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil saja.

Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan wajib ke atas setiap manusia. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud : "Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya." - (Surah an-Nahl ayat 144)

Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri nikmat Allah yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya.

Oleh itu marilah kita jadikan sifat syukur ini amalan hidup kita setiap hari, basahkan lidah kita dengan memuji kebesaran Allah dengan perbanyakkan menyebut "Alhamdulillah" (Segala puji bagi Allah) kerana Nabi Daud dan Nabi Sulaiman sentiasa memuji Allah S.W.T. , firman-Nya yang bermaksud : "Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Daud dan Sulaiman dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: 'Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman".(Surah an-Naml ayat 15)

Kita tidak akan mampu menghitung nikmat Allah, syukurilah apa yang kita miliki, syukurilah apa sahaja rezeki daripada Allah S.W.T.samaada sikit atau banyak. Mensyukuri apa yang kita perolehi walaupun hanya sedikit akan lebih baik daripada berlimpah tapi tidak bersyukur. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita sebagai insan yang pandai bersyukur. Amin.